PROMOTION FACE MASK ! HAND SANITIZER ! THERMOMETER WITH MDA !
PENGHANTARAN PERCUMA UNTUK PEMBELIAN MINIMUM RM100!!!
10 Khasiat Daun Sacha Inchi yang anda perlu tahu

Apakah khasiat daun Sacha Inchi? blog  ini akan membincangkan khasiat daun ini, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.

Pengenalan

Sacha inchi (Plukenertia volubilis) atau dikenali juga sebagai ‘Sacha Peanut’, ‘Mountain Peanut’ dan ‘Inca Nut’, merupakan tumbuhan yang berasal daripada Selatan Amerika. Pada awalnya, pokok sacha inchi tidak diketahui kewujudannya di Malaysia.

Akan tetapi, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah memperkenalkan satu inisiatif iaitu penanaman pokok sacha inchi dalam kalangan pekebun getah untuk membantu mempertingkatkan tahap ekonomi mereka.

Kini, penanaman pokok sacha inchi semakin galak dijalankan terutamanya di Kelantan untuk memenuhi pasaran luar negara. Di Asia Tenggara, bukan sahaja Malaysia tetapi Thailand, Vietnam dan Kemboja turut menanam pokok sacha inchi secara komersial.

 

Ciri-ciri Pokok Sacha Inchi

Pokok sacha inchi adalah tumbuhan jenis renek yang memerlukan sokongan untuk menjalar diatas kayu sokongan dalam penanaman secara komersial. Batang pokok ini akan menjalar membelit kayu sokongan. Menariknya tentang pokok ini, daunnya berbentuk hati dengan susunan bersilang berukuran 10-12cm panjang dan 8-10 cm lebar serta panjang tangkai sekitar 2-6 cm panjang. Daun sacha inchi ini berwarna hijau manakala bunga berwarna hijau putih.    

Penanaman Pokok Sacha Inchi di Malaysia

Datuk Zahidi Zainul Abidin, Pengerusi RISDA menyatakan bahawa pihak RISDA akan memberi 20 hingga 30 batang pokok untuk setiap rumah pekebun kecil getah untuk mengusahakan tanaman pokok sacha inchi. Ini kerana pihak RISDA yakin bahawa tanaman sacha inchi berpotensi memberi pendapatan tambahan kepada pekebun kecil getah sehingga RM500 sebulan. Rancangan seterusnya, pihak RISDA akan mengedarkan benih pokok sacha inchi dari Thailand kepada pekebun kecil getah.    

Kandungan Nutrisi

Tahukah anda bahawa sacha inchi ini digelar sebagai ‘superfood’? Hal ini dapat dibuktikan dengan penghasilan produk kesihatan berasaskan daun sacha inchi di pasaran terutamanya di Thailand. Minyak pati cecair dan produk dalam bentuk kapsul telah dikomersialkan dengan sangat meluas di Thailand. Dalam artikel kali ini, kita akan berkongsi tentang khasiat daun sacha inchi.

Pertama sekali, kandungan nutrisi dalam daun sacha inchi. Walaupun pelbagai kajian telah dijalankan terhadap hampas, biji dan daun sacha inchi, akan tetapi, kajian mengenai kandungan nutrisi dalam daun sacha inchi masih lagi terhad. Satu kajian terhadap 15g daun sacha inchi yang telah dijadikan sebagai ekstrak menunjukkan bahawa daun sacha inchi mengandungi sebatian fenolik, karbohidrat dan protein. 

Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa ekstrak daun sacha inchi mengandungi 8.02% sebatian fenolik, 91.49% karbohidrat dan 0.49% protein daripada jumlah keseluruhan.

Kandungan Berkhasiat dalam Sachi Inchi

Menurut kajian, daun sacha inchi mengandungi sebatian yang memberikan kesan antioksidan. Sebagai contoh, terpenoid, saponin, dan flavonoid.

Terpenoid dan Saponin

Terpenoid dan saponin adalah sebatian yang bertanggungjawab dalam melindungi daripada mikroorganisma jahat. Terpenoid dan saponin acap kali dijadikan sebagai bahan dalam perubatan herba tradisional kerana mengandungi kesan farmakologi.

Kajian menunjukkan saponin menghasilkan kesan antioksidan pada kulit dan melindungi kulit daripada kerosakan ultraviolet dengan menghalang proses degradasi pada bahagian luar sel. Selain itu, terpenoid dan saponin menghalang proses iritasi dengan menghasilkan kesan anti keradangan. Terpenoid dan saponin juga bertindak sebagai antiseptik untuk merawat luka dan mengeringkan jerawat.

Flavonoid

Manakala flavonoid pula adalah satu kumpulan kimia dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Flavonoid bertanggungjawab dalam menghasilkan warna dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Flavonoid merupkan antioksidan yang bertindak sebagai pelindung daripada penyakit seperti kanser, neurodegeneratif dan penyakit kardiovaskular.

Selain daripada kesan antioksidan, flavonoid juga menghasilkan kesan anti keradangan dan membantu dalam menguatkan sistem imunisasi. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila sejarah menyatakan bahawa flavonoid telah digunakan dalam perubatan Cina dan Ayurvedik kerana berupaya dalam melindungi kulit, meningkatkan fungsi otak, mengawal paras gula dan tekanan darah tinggi.

10 khasiat daun Sacha Inchi kepada Kesihatan

1. Kesan Anti Bakteria

 

Kajian in vitro menunjukkan bahawa terdapat ekstrak daun sacha inchi dihasilkan untuk melawan bakteria seperti Staphylococcus aureus. Ini kerana ekstrak ini mampu menghalang bakteria Staphylococcus aureus daripada menempel pada pada bahagian epidermis kulit.

Bahagian epidermis kulit sangat penting dalam merawat kulit. Manakala Staphylococcus aureus adalah patogen yang menyebabkan jangkitan. Sekiranya berlaku kecederaan pada kulit, kehadiran Staphylococcus aureus akan menyebabkan jangkitan dan melambatkan proses penyembuhan.

2. Kesan Anti Keradangan

Daun sacha inchi mengandungi asid lemak penting yang membantu dalam mengurangkan keradangan dan menyembuhkan luka. Keradangan adalah tanda dimana badan sedang melawan penyakit ataupun luka. Keradangan adalah mekanisme perlindungan yang normal yang berlaku dalam badan.

Akan tetapi, keradangan yang kronik akan menyebabkan penyakit seperti arthritis. Oleh itu, daun sacha inchi membantu dalam mengurangkan keradangan dan mempercepatkan proses penyembuhan luka yang disebabkan oleh keadaan keradangan yang kronik.

3. Mengandungi Vitamin A dan Vitamin E

Daun sacha inchi tinggi dengan vitamin A dan vitamin E. Kedua-dua vitamin ini penting untuk kesejahteraan tubuh badan. Vitamin A merupakan vitamin yang berperanan dalam melindungi kesihatan mata, menguatkan tulang, memastikan pertumbuhan yang sihat dan proses pembiakan semula.

Manakala vitamin E pula merupakan antioksidan yang membantu dalam melindungi sel daripada radikal bebas yang berbahaya, meningkatkan sistem imunisasi dan melindungi daripada penyakit degeneratif.

4. Tinggi Dengan Protein yang Lengkap

Protein merupakan sumber penting bagi menghasilkan tisu, membentuk otot dan mengawal hormon. Protein boleh diperoleh melalui makanan dan ada juga protein dihasilkan oleh tubuh badan kita. Sumber makanan berasaskan haiwan mengandungi protein yang lebih baik daripada protein berasaskan tumbuh-tumbuhan.

Namun demikian, terdapat golongan vegetarian dimana mereka tidak mengambil makanan dari sumber haiwan. Oleh itu, mereka perlu mengambil protein daripada sumber tumbuh-tumbuhan. Daun sacha inchi merupakan sumber protein tumbuhan yang lengkap kerana mengandungi sembilan asid amino penting. Ini menjadikan daun sacha inchi merupakan sumber protein terbaik dalam menggantikan protein daripada sumber haiwan.

5. Meningkatkan Sensitiviti Insulin

Daun sacha inchi membantu dalam meningkatkan sensitiviti insulin. Secara spesifik, daun sacha inchi menjadikan insulin lebih sensitif setelah pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak tepu.

Ini bermaksud daun sacha inchi membantu dalam proses pencernaan makanan dan menyerap lebih banyak nutrisi selepas makan. Dengan mekanisme ini, paras gula dalam darah dapat dikawal.

6. Menurunkan Paras Kolesterol

Pengambilan ekstrak daun sacha inchi selama 60 hari dalam uji kajian haiwan menunjukkan bahawa organ hati haiwan tersebut bertambah baik. Ini kerana paras kolesterol dan trigliserida menurun manakala paras kolesterol baik (kolesterol-HDL) meningkatkan.

Manakala dalam kajian yang melibatkan manusia, pengambilan ekstrak daun sacha inchi memberikan kesan yang positif terhadap bacaan lipid mereka.

7. Membantu Mengurangkan Berat Badan

Bagi golongan yang ingin menurunkan berat badan, daun sacha inchi dapat membantu untuk memenuhi usaha itu. Ini kerana daun sacha inchi mengandungi protein dan serat yang menjadikan ia sebagai usaha tambahan untuk berdiet. Protein bertindak dalam mengurangkan rasa mengidam dan mengawal selera makan. Manakala, serat pula akan memberikan kesan rasa kenyang lebih lama untuk mengelakkan pengambilan makanan secara berlebihan.

8. Meningkatkan Kesihatan Usus

Walaupun masih tiada lagi kajian yang dijalankan terhadap manusia, terdapat kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa daun sacha inchi meningkatkan tahap kesihatan usus. Sebagai contoh, satu kajian menunjukkan bahawa ekstrak daun sacha inchi yang diberikan kepada sekumpulan tikus dengan diet yang tinggi lemak, menghasilkan lebih banyak bakteria baik dalam usus.

Satu kajian yang lain menunjukkan bahawa kesan pengambilan ekstrak daun sacha inchi meningkatkan kesihatan mikroorganisma dalam usus sekumpulan tikus. Seperti yang diketahui, serat merupakan sebatian yang meningkatkan keteraturan dalam sistem penghadaman. Serat ini membantu dalam proses penyahtinjaan dan melindungi daripada keadaan seperti buasir dan diverticulitis, penyakit yang disebabkan oleh jangkitan atau keradangan dalam usus.

9. Melindungi Daripada Penyakit Kanser

Satu kajian menunjukkan bahawa ekstrak daun sacha inchi mendorong kepada proses apoptosis. Proses apoptosis adalah proses sel mati untuk menyingkirkan sel yang tidak diperlukan atau sel yang tidak normal. Proses ini adalah salah satu langkah untuk melindungi daripada penyakit kanser.

Ekstak daun menghalang HeLa iaitu sel kanser serviks dan A549 iaitu sel tumor daripada tisu paru-paru. Daun sacha inchi menghasilkan kesan anti proliferatif dengan mematikan sel kanser daripada membahagi.

10. Mengandungi Kesan Perlindungan Saraf

Sedarkah anda bahawa daun sacha inchi yang bersaiz kecil mampu meningkatkan keupayaan otak kita. Ini kerana daun sacha inchi mengandungi kesan perlindungan neuron dimana ianya membantu mengurangkan kerentanan terhadap kecederaan akut seperti strok dan kecederaan tulang belakang. Daun sacha inchi juga mampu meningkatkan kesihatan mental dan mengurangkan simptom tekanan jiwa.

Kesimpulan

Pengambilan diet berasaskan tumbuh-tumbuhan memberikan manfaat kepada kesihatan. Sebagai contoh, meningkatkan kesihatan mental, membekalkan tenaga dan mengelakkan daripada pelbagai penyakit seperti kanser dan kencing manis. Ianya juga akan mengelakkan masalah kesihatan yang berasal daripada pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang.

Tambahan pula, makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan lebih murah daripada produk berasaskan haiwan dan lebih mesra alam. Oleh itu, pengambilan daun sacha inchi boleh dijadikan salah satu pilihan dalam diet seharian. Diharapkan agar lebih banyak kajian dijalankan untuk merungkaikan rahsia kesihatan disebalik daun sacha inchi ini.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Beras Perang Khasiat Susu Kambing
Khasiat Kismis Khasiat Buah Berangan
Khasiat Coklat Khasiat Cuka Epal
Khasiat Spirulina Khasiat Quinoa
Khasiat Garam Bukit Khasiat Daun Sacha Inchi
Khasiat Buah Aprikot Khasiat Buah Kiwi
Khasiat Buah Kulim Khasiat Buah Mahkota Dewa
Khasiat Teh Hijau Khasiat Sumac
Khasiat Hempedu Bumi Khasiat Kacang Kuda
Khasiat Saffron Khasiat Kubis